Tok Mat: BN Baru Akan Lebih Terbuka Terima Kemasukan Parti Lain

Tok Mat: BN Baru Akan Lebih Terbuka Terima Kemasukan Parti Lain

PETALING JAYA: Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN baru di bawah pimpinannya akan bersikap lebih terbuka dari segi penerimaan kemasukan parti lain dalam gabungan itu.

Timbalan presiden Umno itu yang menjalankan tugas sebagai presiden menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengakui BN sebelum ini agak ketat dari segi menerima penyertaan parti lain.

Beliau berharap BN menerusi langkah penjenamaan semula yang diumumkan Zahid sebelum ini dapat menghapuskan sikap sedemikian yang memberi kesan kepada gabungan itu.

“Dulu BN ‘rigid’ sangat, kalau ada parti-parti lain nak masuk, kena capai kata sepakat. Jadi, kita kena lihat benda-benda sebeginilah masa perbincangan nanti.

“Kita mahukan lebih ramai parti berada dalam gabungan kita,” katanya ketika dihubungi FMT.

Mohamad berkata, sebuah pasukan khas akan ditubuhkan bagi tujuan penjenamaan semula BN.

“Kita akan tubuhkan satu pasukan, boleh jadi kita minta orang luar juga sebagai ahlinya, bukan sesama kita. Kadang-kadang sesama kita juga, kita tak nampak.

“Kalau ada orang luar yang boleh menasihatkan kita, melihat macam mana kita punya pendekatan baru, macam-macamlah kita boleh buat.”

Katanya, pasukan khas itu akan memulakan perbincangan penjenamaan semula BN selepas pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 26 Januari nanti.

Pada 27 Oktober lalu, Zahid mencadangkan BN dijenamakan semula dengan nama baru sebagai langkah untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15.

Beliau berharap PAS dapat menyertai dan mengukuhkan lagi gabungan baru itu.

Pada 2 Disember lalu, MCA menerusi perhimpunan agungnya meluluskan resolusi membubarkan BN untuk membentuk gabungan baru yang lebih berkesan.

Bagaimanapun, Zahid keesokannya dilaporkan berkata, MCA tiada hak membubarkan BN kerana semua parti komponen yang patut membuat keputusan sebulat suara berhubung perkara itu. -FMT