UMNO Akan Saman Wakil Rakyat Lompat Parti

UMNO Akan Saman Wakil Rakyat Lompat Parti

KUALA LUMPUR  – Wakil rakyat UMNO yang melompat ke parti lain tidak akan terlepas dengan mudah.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan mengemukakan saman kepada wakil rakyat terbabit kerana tindakan itu dianggap mengkhianati ahli yang memberi sokongan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

“Mereka harus tahu bahawa kemenangan mereka bukan atas nama individu.

“Atas kerja kuat orang UMNO, jentera UMNO, mereka mesti berterima kasih kepada UMNO atas kemenangan itu, bukan melompat untuk menjaga kepentingan diri sendiri,” katanya ketika diwawancara dalam program Wacana U3.0 : Sesi Dari Hati Ke Hati di Auditorium Menara Dato Onn, di sini malam ini.

Sehubungan itu, menurut Zahid, pihaknya akan menuntut satu jumlah yang agak besar daripada wakil rakyat terlibat sebagai ganti rugi kepada usaha ahlinya.

“Saya ingin umumkan, Ibu pejabat UMNO telah mendaftarkan writ saman menuntut ganti rugi pada 14 November lalu dan menuntut satu jumlah yang agak besar daripada mereka.

“Kita akan gunakan apa sahaja aspek perundangan kerana kita menuntut hutang budi kepada UMNO dan jentera UMNO perlu dibayar semula,” katanya. – UTUSAN ONLINE