UMNO Bincang Enam Ahli Parlimen Mahu Kembali Sertai Parti

UMNO Bincang Enam Ahli Parlimen Mahu Kembali Sertai Parti

CAMERON HIGHLANDS – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan parti itu ada membincangkan mengenai enam ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan keluar UMNO bulan lalu memohon untuk kembali menyertai parti itu.

Menurutnya, bagaimanapun setakat ini tiada keputusan yang khusus dibuat mengenai perkara itu sambil menegaskan belum ada di antara mereka yang mengemukakan borang permohonan untuk menyertai UMNO.

“Saya tak boleh mengesahkan sehingga semua benda dibuat secara rasmi jadi biarlah kalau nak sahkan cerita itu tanya orang yang berkenaan dahulu, Buat masa ini walaupun ada dibincangkan tapi tak ada keputusan yang khusus mengenainya.

“(Borang permohonan untuk menjadi ahli UMNO) belum sampai di meja saya walaupun saya ada dengar perkhabaran (enam ahli Parlimen BN mahu menyertai UMNO semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program makan malam santai dengan belia bersama calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor di sini hari ini.

Ditanya sama ada UMNO sedia menerima enam yang keluar parti, Annuar berkata, UMNO adalah sebuah parti yang terbuka dan memahami apa yang dilalui oleh mereka sehingga membuat keputusan meninggalkan parti.

Beliau berkata, mereka yang meninggalkan UMNO adalah rakan-rakan dan masih mengekalkan hubungan peribadi dan jika mereka berubah fikiran, perkara itu boleh dibincangkan.

“Ini bukanlah kes ‘berpatah arang berkerat rotan’. Kita memahami situasi politik semasa dan kita tak boleh memutuskan hubungan begitu sahaja kerana alangkan yang lama bermusuh dengan kita seperti Pas kita boleh duduk bincang, apatah lagi bekas ahli UMNO.

“Tapi di peringkat saya belum ada apa-apa secara rasmi, jadi saya tak boleh kata apa-apa namun tapi secara prinsipnya roh semangat UMNO itu ialah sebuah parti yang terbuka,”

Enam Ahli Parlimen yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas meninggalkan UMNO pada 14 Disember lalu iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Tiga lagi ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz. – UTUSAN ONLINE