UMNO Gesa Rakyat Hormat Majlis Raja-Raja

UMNO Gesa Rakyat Hormat Majlis Raja-Raja

SEREMBAN: UMNO menghormati dan akur dengan keputusan Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, turut mengambil kesempatan menjunjung kasih terhadap Tuanku atas naungan serta kepimpinan yang diberikan sepanjang menjalankan tugas.

Berkenaan pemilihan Yang di-Pertuan Agong, beliau berkata itu adalah bidang kuasa eksklusif Majlis Raja-Raja.

“Justeru, UMNO menggesa semua pihak memahami dan menghormati perkara itu dan jangan mencemarkan dengan spekulasi, khabar angin, dipolitikkan atau apa saja tindakan yang tidak santun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata UMNO memberi keyakinan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Majlis Raja-Raja dalam tradisi dan pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, katanya, UMNO mengecam keras sebarang tindakan yang bersifat cubaan menangguk di air keruh.

“UMNO menyeru kepada semua rakyat untuk bersama-sama menyatakan sokongan, kesetiaan dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja-Raja Melayu.

“Sebagai warganegara yang menjunjung Rukun Negara, marilah kita bersama menghormati kedaulatan institusi ini dengan taat dan setia,” katanya.

Beliau turut berharap supaya keseluruhan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang berikutnya akan berjalan lancar. -Berita Harian