Umno, NGO Berdemo Desak Kerajaan Turunkan Harga Barang

Umno, NGO Berdemo Desak Kerajaan Turunkan Harga Barang

KUALA LUMPUR – Umno dan Suara Gerakan Rakyat hari ini menunjuk perasaan mendesak kerajaan menurunkan harga barang, hampir 2 bulan selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam menyanggah kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan Pakatan Harapan janji harga barang akan berkurangan.

“Dia boleh buka balik kenyataan yang menyatakan beliau mahu melaksanakan SST kerana SST boleh mengurangkan beban rakyat.

“Malah setiausaha politiknya Tony Pua kata harga barang akan turun,” katanya kepada pemberita.

Lokman hari ini mengetuai kira-kira 100 penunjuk perasaan yang berhimpun di hadapan Pusat Khidmat Rakyat Wangsa Maju.

Tunjuk perasaan anjuran Umno Wangsa Maju dan Suara Gerakan Rakyat berlangsung selama 1 jam bermula 5.30 petang.

Peserta memenuhi tepian jalan dan melaungkan slogan “hancing, hancing, kena kencing” sambil memegang poster meminta pengguna jalan raya membunyikan hon sebagai tanda bantahan kepada SST, yang menggantikan cukai kontroversi GST pada 1 September.

“Kita boleh cabar Lim dan Tony, bila-bila masa kita berdebat untuk buktikan GST jauh lebih baik untuk rakyat, jauh lebih baik untuk negara dan barang-barangnya jauh lebih murah,” kata Lokman.

Hari ini Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata sebanyak 27% atau 115 daripada 417 barangan mengalami kenaikan harga antara 0.09% hingga 41.65%, selepas pelaksanaan cukai SST.

Beliau berkata, 70% atau 291 barangan mencatat penurunan antara 0.11 hingga 37.61%, manakala baki harga 11 barangan tidak berubah berdasarkan perbandingan harga antara Mei hingga September lalu. – FMT