Undi Majoriti PKR Merosot Teruk Bukti Berlakunya Protes Rakyat Terhadap Kerajaan PH

Undi Majoriti PKR Merosot Teruk Bukti Berlakunya Protes Rakyat Terhadap Kerajaan PH

BIARPUN calon Pas kalah di pilihanraya kecil DUN Seri Setia, namun kejayaan parti tersebut menambah bilangan undi sekali ganda serta berlakunya kemerosotan undi majoriti sebanyak lebih 15 ribu yang terhadap PKR, merupakan satu isyarat bahawa rakyat Malaysia sudah bangkit menyatakan rasa protes mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan hari ini, demikian menurut Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, kehilangan lebih 15 ribu undi majoriti kepada PKR itu merupakan satu tamparan yang hebat walaupun parti tersebut memenangi kerusi DUN Seri Setia pada PRK kali ini.

“Parti Pas berjaya menambah 100 peratus undi yang diperolehi mereka berbanding PRU ke 14 yang lalu,  namun PKR telah kehilangan lebih 15 ribu undi majoriti apabila hanya mendapat 4027 undi majoriti di dalam PRK kali ini.

“Ini membuktikan bahawa rakyat sudah mulai bangkit menyatakan rasa protes mereka terhadap kerajaan PH hari ini walaupun hanya 44 peratus sahaja pengundi yang keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui entri terbaru facebook rasminya ketika mengulas tentang keputusan pilihanraya kecil Dun Seri Setia yang berakhir hari ini.

Dalam PRU ke 14 yang lalu, calon PKR Shaharuddin Baharuddin mendapat undi sebanyak 29, 250 menewaskan calon BN, Yusoff M. Haniff yang mendapat undi 9878 dan calon Pas, Mohd Ghazali Daud yang memperolehi 4563 undi. Calon PKR menang dengan undi majoriti sebanyak 19, 372 undi.

Manakala di dalam PRK Dun Seri Setia kali ini, calon Pas, Dr Halimah Ali berjaya memperolehi undi sekali ganda jumlahnya berbanding PRU ke 14 iaitu sebanyak  9698 undi. Manakala calon PKR, Hakimey Abu Bakar pula mendapat sebanyak 13,725 undi dengan majoriti yang merosot kepada hanya 4027 berbanding PRU ke 14 yang lalu.-MediaUMNO