Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff menegaskan, bantahan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bukan kerana beliau anak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berdasarkan prinsip.

“Saya bukan anak Anwar tapi saya membantah pelantikan beliau kerana prinsip. Ramai lagi tokoh berwibawa boleh dilantik kerajaan. Antaranya bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz atau Anwar sendiri.

“Saya tegas memohon pemimpin kerajaan untuk mempertimbangkan calon lain untuk jawatan berkenaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Rahim yang menyifatkan bantahan Nurul Izzah sebagai tidak perlu dipandang serius hanya kerana Naib Presiden PKR itu adalah anak Anwar.

Ia susulan daripada bantahan Nurul Izzah terhadap pelantikan bekas Ketua Polis Negara itu sebagai fasilitator baharu dalam rundingan damai di wilayah selatan Thailand.

Nurul Izzah juga menyifatkan Abdul Rahim telah bertindak menyerang secara ganas terhadap bapanya ketika ditahan dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup selain dibiarkan tanpa rawatan perubatan berhari-hari.

Kenyataan Nurul Izzah itu merujuk kepada insiden mata lebam yang membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kecederaan yang dialami Anwar ketika dalam tahanan sel Bukit Aman.

Ia juga membawa kepada pengakuan Abdul Rahim bahawa beliau telah menumbuk bekas timbalan perdana menteri itu.

Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau itu juga berkata, tindakan kerajaan melantik Abdul Rahim adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai rekod lampau dan tidak sesuai memegang jawatan itu.

“Rahim tidak mempunyai integriti dan seorang individu berjawatan tinggi suatu ketika telah disabitkan kesalahan jenayah serius apabila mencederakan pemimpin tertinggi negara.

“Perkara tersebut hanya diketahui hanya selepas proses suruhanjaya dilaksanakan dan kes berkenaan didakwa di Mahkamah Jenayah.

“Saya merasakan untuk proses damai yang efektif antara prasyarat utama untuk seorang yang dilantik sebagai orang tengah, beliau harus mempunyai kredibiliti yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Abdul Rahim, 75, dilantik menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim untuk menjadi fasilitator rundingan damai tersebut antara MARA Patani dan kerajaan Thailand. – MG